Dari Basikal Tua ke Ekonomi Digital: Anjakan Minda Kunci Transformasi Sarawak
KUCHING: Elemen dekorasi unik seperti basikal dan skuter lama yang menghiasi pentas bukan sekadar mencuri perhatian, malah menjadi simbol perjalanan transformasi yang perlu digerakkan warga perkhidmatan awam Sarawak ke arah masa depan lebih progresif.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata bahawa kejayaan sesebuah kementerian tidak hanya bergantung kepada kepimpinan semata-mata, tetapi turut didorong oleh kekuatan kerja berpasukan, integriti serta kesediaan untuk berubah mengikut peredaran zaman.
Menurut beliau, semangat kebersamaan dan komitmen tinggi dalam kalangan jabatan serta agensi di bawah kementerian menjadi asas penting dalam memastikan setiap dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita tidak boleh bekerja secara berasingan. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan kerana itulah kekuatan utama untuk memastikan segala tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang turut diraikan bersama sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini pada Jumaat.
Mengimbas perubahan landskap pentadbiran, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menjelaskan bahawa, kemajuan teknologi kini memudahkan proses perancangan pembangunan berbanding dahulu yang serba terhad.
Katanya, penggunaan platform digital dan teknologi maklumat membolehkan maklumat diperoleh dengan lebih tepat dan pantas, sekali gus membantu dalam membuat keputusan yang lebih berkesan.
“Dulu kita tidak ada kemudahan seperti sekarang. Hari ini, semua maklumat boleh diperoleh dengan cepat. Sebab itu kita mesti kuasai teknologi dan ilmu baharu supaya tidak ketinggalan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan anjakan paradigma dalam kalangan penjawat awam agar selari dengan aspirasi pembangunan negeri yang kini memberi tumpuan kepada ekonomi baharu termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, industri berteknologi tinggi dan pengeluaran hidrogen.
Beliau turut mengingatkan bahawa segala pelaksanaan dasar perlu berpaksikan perundangan yang relevan serta sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa, termasuk dalam aspek pemeliharaan alam sekitar dan perubahan iklim.
Tambahnya, kementerian berkenaan memainkan peranan penting sebagai pemacu utama pembangunan negeri merangkumi pelbagai sektor seperti perumahan, infrastruktur, pertanian, pelancongan dan telekomunikasi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus memperkukuh kerjasama, meningkatkan produktiviti serta memanfaatkan teknologi secara optimum demi memastikan Sarawak terus bergerak maju.
Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penerima anugerah serta pegawai yang telah dan sedang berkhidmat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak (Controller of Environmental Quality Sarawak) di NREB Sarawak Datu Jack Liam, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Abang Arabi Abang Aimran serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Firdaus Materang
Jurugambar: Mohammad Naseem