100 Tahun Sambutan Hari Peringatan Sedunia, Perkukuh Persahabatan Global
KUCHING: Sambutan Hari Peringatan Sedunia peringkat Sarawak menjadi detik bermakna apabila ulang tahun ke-100 diraikan dengan penekanan terhadap nilai persahabatan sebagai asas perpaduan global.
Sambutan anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Sarawak itu disempurnakan oleh Penaungnya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada Sabtu.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Cawangan, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Yang Dipertua Annie Sim, Ketua Pesuruhjaya Ruth Sibat serta kira-kira 230 ahli dan pemimpin Pandu Puteri dari seluruh negeri.
Dalam ucapannya, Dato Dayang Morliah berkata sambutan tahun ini amat signifikan kerana menandakan satu abad Hari Peringatan Sedunia yang disambut sejak 1926.
Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, pergerakan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri berjaya membina jaringan persahabatan yang kukuh merentasi sempadan negara, budaya dan generasi.
“Persahabatan inilah yang menjadi asas kekuatan pergerakan ini dalam melahirkan individu yang berani, berprinsip dan komited untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik dan selamat,” katanya.
Dato Dayang Morliah menjelaskan, sambutan tahun ini memberi penekanan kepada empat fokus utama iaitu meraikan 100 tahun persahabatan, menghargai sejarah dan tradisi, memperkukuh hubungan global serta menterjemahkan nilai persahabatan melalui tindakan.
Dalam pada itu, katanya, seiring dengan sambutan bersejarah ini, World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) telah menyediakan pek aktiviti khas bagi membolehkan ahli-ahli menyertai aktiviti yang bermakna dan seterusnya memperoleh lencana peringatan ulang tahun ke-100 World Thinking Day.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Cawangan Sarawak kini mempunyai kira-kira 13,000 ahli di semua peringkat dan terus aktif melaksanakan pelbagai program pembangunan termasuk kursus kepimpinan, bengkel serta latihan berterusan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Mohd Hisyam & Nur Nabilla