ASAJAYA: Aidilfitri terus menjadi platform penting memperkukuh perpaduan dalam komuniti pelbagai kaum dan agama.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya medium mempereratkan silaturahim serta memperkukuh keharmonian masyarakat.
“Aidilfitri adalah masa terbaik untuk kita mempereratkan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan dan memperkasa komuniti agar terus maju,” katanya ketika Majlis Salam Aidilfitri 2026 di Kampung Moyan Laut pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan pendidikan sebagai asas utama dalam membentuk masa depan generasi muda, selain menyeru ibu bapa memainkan peranan aktif dalam menyokong pembelajaran anak-anak.
“Pendidikan bukan hanya tanggungjawab guru di sekolah, tetapi memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa di rumah,” ujarnya.
Tambah beliau, peluang untuk cemerlang terbuka luas termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin relevan serta menawarkan prospek kerjaya baik.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang, Pegawai KEMAS Bahagian Samarahan, Muhammad Asyraf Md Nor serta Penghulu Kampung Moyan Laut, Gani Awi.-EDISI UKAS