Penyebaran Berita Palsu, Propaganda Media Sosial Ancam Perpaduan Masyarakat
KUCHING: Penyebaran berita palsu dan propaganda di media sosial dilihat berpotensi memberi kesan besar kepada masyarakat serta mengancam perpaduan sekiranya tidak dibendung secara berhemah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, perkembangan pesat tekonologi komunikasi masa kini membolehkan hampir semua lapisan masyarakat mengakses media sosial melalui telefon pintar, sekali gus membuka ruang kepada penyebaran kandungan tidak sahih.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada serta menilai kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.
“Hati-hati dengan penyebaran berita palsu dan cerita rekaan yang berbaur perkauman serta hinaan agama yang bertujuan menimbulkan keresahan masyarakat berbilang kaum.
“Nilai kesahihan maklumat dan jangan sewenang-wenangnya menyebarkan kandungan yang tidak pasti sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Gabungan Ahli Berbaiah 30 Sarawak (GAB30), di sini, pada Jumaat.
Datuk Abdullah menambah, pembangunan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kemajuan fizikal, tetapi juga pada kemesraan, keakraban dan integriti moral masyarakatnya yang berbilang kaum.-EDISI UKAS