Koordinasi Bersepadu Pacu Kesiapsiagaan Program Sarawakku Sayang 2026 Miri
MIRI: Kesiapsiagaan penganjuran Program Sarawakku Sayang 2026 di Bahagian Miri dipacu secara agresif melalui koordinasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua mengetuai lawatan tapak ke Stadium Miri bagi menilai tahap persediaan dari aspek logistik, teknikal dan operasi sebagai langkah awal memperkukuh perancangan program berskala besar itu.
Lawatan tersebut mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memastikan kesiapsiagaan menyeluruh, khususnya dalam pengurusan program berprofil tinggi secara sistematik dan tersusun.
Sejurus lawatan, beliau turut mempengerusikan mesyuarat penyelarasan di Bilik Mesyuarat Aras 9, Pejabat Residen Miri yang menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan bagi membentangkan laporan kemajuan serta memperincikan peranan masing-masing.
Antara fokus utama termasuk cadangan penempatan pusat media di Stadium Miri berhampiran pintu masuk VIP bagi meningkatkan kecekapan liputan, selain penyelarasan bahan komunikasi strategik seperti infografik dan backdrop menerusi kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Sarawak Multimedia Authority (SMA).
Dalam masa sama, UKAS turut diamanahkan menentukan media rasmi bagi sesi temu bual bersama Premier Sarawak, sekali gus menegaskan kepentingan pengurusan komunikasi yang strategik dan tersusun.
Mesyuarat yang berlangsung dari jam 11.30 pagi hingga 3.15 petang itu akan diteruskan pada 20 April ini bagi memperhalusi pelaksanaan.
Pendekatan strategik ini menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan Program Sarawakku Sayang 2026 di Miri bukan sahaja lancar, malah memberi impak maksimum kepada masyarakat.-EDISI UKAS