60 Peratus Siap, Projek RTP Percepat Penyelesaian Isu Infrastruktur Sekolah
MIRI: Isu takungan air yang sekian lama menjejaskan keselamatan dan keselesaan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri kini ditangani secara tuntas menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM100,000.
Peruntukan yang disalurkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew itu memberi fokus kepada penyelesaian isu kritikal di kawasan laluan menunggu pelajar di luar sekolah.
Projek yang bermula pada 16 Mac lalu kini mencapai kira-kira 60 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Jun ini.
Skop kerja melibatkan naik taraf laluan berbumbung sepanjang kira-kira 140 meter, termasuk peninggian aras tanah antara satu hingga dua inci serta penambahbaikan permukaan bagi mengelakkan takungan air ketika hujan.
Selain itu, struktur tangga turut direka semula bagi memperkukuh sistem saliran, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kelancaran pergerakan pelajar, khususnya pada waktu puncak.
Setiausaha Sulit kepada Datuk Sebastian Ting, Chia Kah Furng telah turun padang meninjau perkembangan projek tersebut bersama kontraktor dan pegawai Majlis Bandaraya Miri, selain mendapatkan taklimat terkini berkaitan pelaksanaan.
Pengetua SMK Chung Hua Miri, Puan Lai ketika ditemui menyatakan kepuasan terhadap kemajuan projek dan yakin penambahbaikan yang dilaksanakan mampu menyelesaikan isu yang telah lama dihadapi, di samping menyediakan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan kondusif.
Dalam pada itu, Chia menegaskan bahawa pelaksanaan RTP memberi tumpuan kepada penyelesaian isu asas di peringkat akar umbi, dengan setiap peruntukan disalurkan secara bersasar bagi memastikan impak nyata kepada komuniti, khususnya dalam mempertingkatkan kualiti persekitaran pendidikan.
Pendekatan intervensi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani keperluan kritikal rakyat secara efektif dan berimpak tinggi.-EDISI UKAS