Kestabilan Politik, Ekonomi Buka Peluang Lebih Luas Pembangunan Belia
SARATOK: Kestabilan politik dan ekonomi Sarawak terus menjadi pemangkin kepada peluasan peluang pembangunan belia, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri berkata, situasi stabil yang dinikmati negeri ini membolehkan pelbagai inisiatif dirangka dan dilaksanakan secara berterusan demi manfaat generasi muda.
“Kestabilan politik dan ekonomi yang kita kecapi hari ini telah membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pembangunan belia, termasuk dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Ini penting bagi memastikan golongan muda terus diberi sokongan untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Silaturahim Aidilfitri SABERKAS Kalaka 2026 di SJKC Min Syn Saratok, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan bahawa pembangunan infrastruktur yang sedang giat dilaksanakan di kawasan Kalaka dan sekitarnya akan memberi manfaat jangka panjang kepada generasi muda.
Selain itu, katanya, SABERKAS turut memberi penekanan terhadap pembangunan sukan sebagai medium pembentukan jati diri belia.
Dalam majlis tersebut, pasukan futsal SABERKAS Saratok menerima sumbangan sebanyak RM5,000 bagi memperkukuh penyertaan mereka dalam aktiviti sukan, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat berpasukan dalam kalangan belia.
Turut hadir ialah Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Datuk Abdul Wahab Aziz, Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid, Setiausaha Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak Iszuan Haroni serta Pengerusi SABERKAS Cawangan Kalaka Abadi Hussein.-EDISI UKAS