LCDA Perkukuh Peranan Pacu Pembangunan Seimbang Sarawak
KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) terus memainkan peranan strategik dalam merancakkan pembangunan bandar dan luar bandar, sekali gus memperkukuh agenda Pusat Pertumbuhan Luar Bandar di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penglibatan aktif agensi itu merangkumi pelbagai skala pembangunan termasuk projek pembangunan semula bandar serta perancangan kawasan baharu di seluruh negeri.
“LCDA terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan bandar utama serta kawasan luar bandar, dan ini menjadikan agensi ini komponen penting dalam mewujudkan pusat pertumbuhan luar bandar,” katanya ketika ditemui media pada Sabtu.
Menurut beliau, selain aspek perancangan bandar, LCDA turut memikul tanggungjawab penting dalam pelaksanaan projek perumahan, khususnya rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Kita telah melaksanakan banyak projek rumah mampu milik seperti di Darul Hana dan konsep ini akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Lawas, selain melibatkan program penempatan semula serta peluasan kampung bersama agensi berkaitan,” jelasnya.
Tambah beliau, LCDA juga melaksanakan pembangunan kemudahan awam termasuk kawasan rekreasi dan fasiliti komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sumbangan LCDA terhadap pembangunan negeri adalah signifikan dan berharap agensi berkenaan terus diperkasa dalam memacu pembangunan Sarawak secara menyeluruh dan mampan.-EDISI UKAS