KUCHING: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) terus memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya melalui pembangunan tanah adat (NCR) dan inisiatif agropark yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, LCDA bukan sahaja terlibat dalam sektor pertanian melalui pengurusan ladang sendiri, malah bertindak sebagai ejen pengurusan (managing agent) dalam pembangunan tanah NCR bagi melindungi kepentingan pemilik tanah.
Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan tanah yang sebelum ini terbiar dibangunkan secara produktif melalui konsep pembangunan NCR baharu dengan kerjasama sektor swasta.
“Usaha ini membuka peluang kepada pemilik tanah memperoleh dividen, selain menyediakan peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri LCDA 2026 di Dewan Serbaguna CATS FM, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa LCDA kini dipertanggungjawabkan untuk membangunkan beberapa kawasan sebagai agropark yang menyediakan kemudahan lengkap bagi menarik penyertaan pelabur dan pengusaha.
Katanya, konsep agropakar yang lebih menyeluruh itu bukan sahaja memberi peluang kepada individu dan syarikat untuk mengusahakan pertanian seperti penanaman sayur-sayuran, malah turut menggalakkan pembangunan aktiviti hiliran (downstream).
“Sebagai contoh, LCDA turut menerajui penanaman nanas dan kelapa, di samping memberi tumpuan kepada aspek pemasaran dan pemprosesan bagi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian,” jelasnya.
Tambah beliau, lebih banyak projek agropark akan dibangunkan pada masa hadapan bagi memperluas penglibatan sektor swasta serta memperkukuh rantaian nilai industri pertanian negeri.
Langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar di Sarawak.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam dan Pengurus Besar Datu Sr. Zaidi Mahdi.- EDISI UKAS