Tindakan Agresif Capai Sifar Kematian Akibat Rabies Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak memperhebat usaha membanteras rabies dengan sasaran sifar kematian menjelang 2030 susulan 86 daripada 93 kes jangkitan manusia sejak 2017 berakhir dengan kematian, sekali gus menuntut tindakan lebih agresif dan menyeluruh.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, situasi itu membuktikan rabies bukan sekadar isu haiwan, sebaliknya ancaman kesihatan awam yang boleh membawa maut jika tidak ditangani segera.
“Daripada 93 kes, 86 kematian ini menunjukkan betapa seriusnya masalah ini dan kita tidak boleh ambil ringan,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak semasa Program ORV Distribution and Mass Vaccination Programme di Dewan Perpaduan, RPR Fasa 1 & 2 Batu Kawa pada Sabtu,
Beliau menambah, keutamaan kerajaan negeri kini adalah mencapai sifar kematian akibat rabies menjelang 2030 melalui pendekatan lebih menyeluruh termasuk pelaksanaan Oral Rabies Vaccine (ORV) bagi meningkatkan liputan vaksinasi terutama terhadap anjing liar.
“Fokus kita bukan sifar gigitan, tetapi sifar kematian,” tegasnya.
Menurut beliau, selain vaksinasi, kesedaran awam mengenai tindakan segera selepas digigit haiwan juga perlu diperkasakan bagi mengelakkan jangkitan menjadi kritikal.
“Rabies boleh dirawat, tetapi apabila virus sudah sampai ke otak, ia hampir pasti membawa maut,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Sarawak menjadi antara yang terawal di Malaysia memperkenalkan ORV sebagai pendekatan alternatif bagi menangani cabaran vaksinasi anjing liar yang sukar dicapai melalui kaedah konvensional.
Program berkenaan turut melibatkan vaksinasi besar-besaran, pelesenan haiwan, kajian isi rumah serta pengumpulan data bagi memperkukuh perancangan strategik pembasmian rabies di negeri ini.
Sehingga Mac 2026, populasi anjing di Sarawak dianggarkan sebanyak 66,523 ekor dengan liputan vaksinasi masih rendah iaitu sekitar 9 peratus, jauh daripada sasaran 70 peratus bagi mencapai imuniti kelompok.
Selain itu, beliau memberitahu, Premier Sarawak meluluskan geran RM30,000 bagi menyokong pelaksanaan program tersebut, manakala tambahan RM20,000 disumbangkan oleh beliau sendiri.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Datu Dr. Adrian Susin Ambud serta Presiden Sarawak Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA) Datin Dona Drury Wee.-EDISI UKAS