Masjid Bercirikan Seni Bina Cina Dicadang, Lambang Keharmonian Sarawak
SIBU: Cadangan pembinaan sebuah masjid baharu bercirikan seni bina Cina di Taman Apollo berpotensi menjadi manifestasi keunikan serta keharmonian budaya yang menjadi teras kehidupan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian identiti budaya negeri ini, malah dijangka memberi impak positif kepada pembangunan komuniti setempat.
“Saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama mendoakan agar perancangan pembinaan masjid baharu ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
“Projek ini bukan sahaja akan menjadi simbol keunikan dan keharmonian budaya di Sarawak, malah memberi manfaat besar kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Masjid Darul Firdaus, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apollo Deshon dan PerSoNa Wilayah Sarawak di Masjid Darul Firdaus, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Michael berkata, majlis rumah terbuka bukan sekadar sambutan perayaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Menurutnya, keharmonian yang dinikmati di kawasan seperti Taman Apollo adalah hasil amalan nilai saling menghormati, kerjasama dan semangat kejiranan yang utuh dalam kalangan penduduk.
“Inilah kekuatan sebenar masyarakat kita di Sarawak yang perlu kita teruskan dan pertahankan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu.
Beliau turut memuji penglibatan aktif penduduk setempat dalam menjayakan program komuniti, yang menurutnya menjadi asas kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya maju.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak 30 meja bulat berserta kerusi kepada pihak masjid bagi menyokong keperluan penganjuran aktiviti komuniti pada masa akan datang.
Hadir sama semasa majlis tersebut ialah Pengerusi Masjid Darul Firdaus Junaidi Mohamed Mokhtar, Pengerusi KRT Apollo Deshon Abang Mohamad Hafiq Abang Kassim dan Naib Presiden PerSoNa Kebangsaan Malaysia Halmi Morsili.-EDISI UKAS