Pendidikan Medium Ubah Kehidupan, 123 Graduan TCS College Diraikan
KUCHING: Pendidikan perlu dimanfaatkan sebagai medium untuk mengubah kehidupan dan bukan sekadar lulus peperiksaan, seiring kejayaan 123 graduan Technology College Sarawak (TCS College) yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Tahunan ke-20 institusi itu, pada Sabtu.
Menurut Pengarah TCS College, Dr. Amin Aznizan, graduan yang diraikan datang daripada pelbagai latar belakang namun berjaya membuktikan kemampuan masing-masing sehingga menamatkan pengajian dengan jayanya.
Beliau berkata, konvokesyen berkenaan bukan sahaja meraikan pencapaian akademik, malah menjadi simbol kepada perjalanan penuh cabaran, pengorbanan dan ketabahan yang dilalui sepanjang tempoh pengajian.
Majlis yang berlangsung di Galeri Pustaka Negeri Sarawak itu menghimpunkan graduan, ibu bapa, tenaga pengajar serta tetamu jemputan dalam suasana penuh bermakna.
Turut hadir Pengerusi TCS College, Nik Aznizan Hussein; Ketua Pegawai Eksekutif, Joycelynn Kho Fei Fei; serta wakil institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM SPACE) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Dalam pada itu, para graduan turut digalakkan untuk terus meneroka peluang, membina kerjaya serta mencapai cita-cita masing-masing, di samping tidak melupakan asal-usul dan kembali menyumbang kepada masyarakat.
Majlis berakhir dengan pengisytiharan rasmi konvokesyen tersebut, sekali gus menandakan permulaan baharu buat para graduan dalam menempuh alam kerjaya dan kehidupan yang lebih mencabar.-EDISI UKAS