Sarawak kekal stabil, terus salur bantuan kepada rakyat
TELANG USAN: Ketika negara lain mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan, tindakan Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat mencerminkan keupayaan kewangan dan tadbir urus negeri yang kukuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau berkata, inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merupakan langkah proaktif dalam membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Menurut beliau, dunia kini berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Timur Tengah yang turut memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup.
“Kestabilan politik yang dinikmati sejak beberapa tahun lalu membolehkan kerajaan menumpukan kepada pembangunan ekonomi negeri dan seterusnya menjana hasil untuk disalurkan kembali kepada rakyat.
“Sehubungan itu, saya menyeru rakyat agar terus bersatu dan menyokong kepimpinan sedia ada yang terbukti membawa pembangunan serta manfaat kepada negeri,” katanya dalam kenyataan kepada UKAS pada Jumaat.
Beliau menambah, inisiatif ini sedikit sebanyak membantu rakyat menghadapi kenaikan kos makanan dan pengangkutan.
“Saya maklum rakyat, khususnya di Telang Usan, kini berdepan cabaran kenaikan kos sara hidup, termasuk harga makanan dan pengangkutan yang semakin meningkat.
“Walaupun bantuan tidak besar, ia amat bermakna dan mampu meringankan beban,” ujarnya.
Pada Khamis, Datuk Patinggi Abang Zohari mengumumkan penambahbaikan inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) selain pemberian diskaun bil elektrik serta diskaun sewaan premis perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan.-EDISI UKAS