Penambahan Bantuan SKAS Dan Diskaun Elektrik Ringankan Beban Rakyat Sarawak
LIMBANG: Penambahan Bantuan SKAS dan diskaun elektrik akan meringankan beban rakyat Sarawak apabila inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak pada 16 April itu terus mendapat maklum balas positif daripada pelbagai lapisan rakyat, khususnya di utara negeri ini.
Seorang penerima, Mohammad Hafizul Aziz Jaafar, 32, menyifatkan peningkatan bantuan SKAS sebagai satu kelegaan kepada golongan berkeluarga dalam menghadapi kos sara hidup.
“Terima kasih kepada Premier, Abang Jo kerana menambah bantuan SKAS sebanyak RM150. Kami golongan yang berumah tangga ini, bantuan yang diberikan sangat membantu. Terima kasih sekali lagi Abang Jo,” katanya ketika ditemui UKAS pada Jumaat.
Dalam masa sama, Mohd Fikri Jamal, 31, turut menghargai inisiatif diskaun bil elektrik 25 peratus yang disifatkan sangat membantu, terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Jo, kerana dengan inisiatif diskaun elektrik 25%, ia sememangnya memberi kemudahan kepada kita terutama saya yang bujang ini tinggal seorang, lagi- lagi musim panas masa ini, banyak menggunakan pendingin hawa. Jadi bantuan ini sangat membantu,” jelasnya.
Sementara itu, bagi golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, SKAS turut memberi impak besar dalam mengurus kewangan harian.
Bagi Lianana Bujang, 24, penambahan jumlah SKAS ini merupakan satu inisiatif yang amat bermakna bagi kategori bujang seperti beliau sendiri.
“Dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan juga Premier kita sendiri atas usahanya dalam memberi bantuan yang amatlah bermakna seperti ini. Seperti saya yang baru dalam alam pekerjaan, bantuan ini amatlah membantu saya,” ujarnya.
Dalam Belanjawan 2026, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM876.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai bantuan kewangan kepada rakyat.
Daripada jumlah tersebut, SKAS menerima peruntukan terbesar sebanyak RM680.0 juta, diikuti diskaun 25% bil elektrik berjumlah RM188.1 juta.
Selain itu, sebanyak RM8.1 juta diperuntukkan bagi diskaun 50% sewaan pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) serta premis perniagaan milik badan berkanun negeri.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini.-EDISI UKAS