Elak Kompaun, Peniaga Digesa Segera Pamer Papan Tanda 'Dilarang Merokok'
SIBU: Pemilik perniagaan digesa untuk segera mempamerkan papan tanda 'Dilarang Merokok' di premis mereka bagi mengelak dikenakan tindakan yang tegas.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, ini selaras dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang sedang dijalankan secara berperingkat di seluruh negara.
“Kami memahami bahawa masih ada pemilik perniagaan yang kurang arif dengan keperluan baharu ini.
“Peringatan ini bertujuan membantu semua pihak memahami dengan lebih jelas dan mengambil langkah awal untuk mematuhinya,”katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu menambah, Pusat Khidmat Pelawan menerima maklum balas mengenai beberapa pengusaha perniagaan yang telah dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi keperluan tersebut di premis mereka.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kebanyakan premis yang boleh diakses orang awam kini dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok.
“Ini termasuk premis makanan, kedai runcit, kompleks membeli-belah, kemudahan kesihatan, institusi pendidikan, pusat jagaan kanak-kanak, pejabat kerajaan dan rumah ibadat.
“Turut tertakluk adalah kawasan pengangkutan awam, stesen minyak, kawasan rehat dan rawat (R&R), kemudahan sukan, premis hiburan, dobi layan diri, serta semua tempat kerja,” jelasnya lanjut.
Tambah Datuk Michael, ia termasuk beberapa kawasan yang sering terlepas pandang oleh pemilik premis, antaranya kawasan kaki lima, ruang makan terbuka, lot kedai kecil dan ruang pejabat.
Tegas beliau, pelaksanaan undang-undang berkenaan bukan bertujuan membebankan perniagaan, sebaliknya untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sihat kepada masyarakat.-EDISI UKAS