Permohonan TVET Melonjak, Kapasiti Kolej Vokasional Perlu Diperluas
KUCHING: Lonjakan mendadak permohonan ke kolej vokasional menimbulkan keperluan mendesak untuk memperluas kapasiti institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, lonjakan itu mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap TVET yang kini menjadi pilihan utama kerjaya, selaras dengan Dasar TVET Negara 2030.
Menurutnya, situasi ini menuntut peluasan kapasiti, infrastruktur dan tenaga pengajar bagi menampung permintaan tinggi serta keperluan industri terhadap tenaga mahir.
"Masyarakat mula sedar bahawa TVET kini menjadi nadi utama tenaga kerja. la bukan lagi tentang sijil semata-mata, tetapi tentang kecekapan teknikal dan kepakaran digital yang memberi nilai tambah kepada ekonomi.
"Dengan pendedahan praktikal yang mendalam, graduan TVET kini muncul sebagai pemacu industri yang kompeten dan versatil,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Kali Ke-10 2025 sekali gus menyempurnakan penganugerahan diploma kepada para graduan, bertempat di Hikmah Exchange, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa TVET akan terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa.
Tambahnya, usaha tersebut penting bagi memastikan TVET kekal sebagai pemacu utama dalam pembangunan ekonomi negara serta menyokong agenda transformasi tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Seramai 874 graduan daripada 16 kursus yang ditawarkan menerima diploma pada majlis konvokesyen tersebut sebagai pengiktirafan kepada kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam bidang TVET. -EDISI UKAS