Hospital Sarikei Jadi Nadi Transformasi Kesihatan Komuniti
SARIKEI: Hospital Sarikei terus memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti setempat menerusi pelbagai transformasi yang dilaksanakan sejak 20 tahun penubuhannya bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sambutan Ulang Tahun Ke-20 Hospital Sarikei menjadi simbol pencapaian besar dalam usaha meningkatkan kualiti rawatan serta memastikan akses kesihatan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
“Sepanjang 20 tahun ini, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk peningkatan kemudahan fizikal, pengukuhan kepakaran serta penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.
“Hospital Sarikei bukan sahaja menyediakan rawatan, malah menjadi nadi kepada pembangunan komuniti setempat serta pemangkin kepada transformasi sektor kesihatan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Hospital Sarikei di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, menurut beliau, perkhidmatan kesihatan berkualiti perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi atau latar belakang seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan, termasuk dalam aspek akses kepada kemudahan kesihatan.
“Ini selaras dengan prinsip pembangunan inklusif dan seimbang yang menjadi teras kepada agenda pembangunan Sarawak,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Dato’ Sri Huang turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen berterusan dalam memperkasa sektor kesihatan melalui pembangunan infrastruktur serta peluasan capaian perkhidmatan.
Beliau juga berharap agar Hospital Sarikei akan terus menjadi pemangkin kepada transformasi sektor kesihatan melalui pendigitalan perkhidmatan, peningkatan kepakaran dan pengukuhan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan.-EDISI UKAS