Pengorbanan Petugas Kesihatan Jadi Tunjang Kekuatan Sistem Kesihatan Negara
SARIKEI: Pengorbanan dan dedikasi petugas kesihatan terus menjadi asas kekuatan sistem kesihatan negara apabila mereka tampil sebagai barisan hadapan dalam usaha menyelamatkan nyawa rakyat dalam pelbagai situasi mencabar.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, warga hospital disifatkan sebagai tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, berintegriti dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Menurutnya, petugas kesihatan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab profesional, malah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelangsungan rawatan kepada masyarakat ketika berdepan situasi kritikal.
“Kehadiran mereka sebagai barisan hadapan merupakan satu manifestasi kepimpinan melalui khidmat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-20 Hospital Sarikei, di sini pada Sabtu.
Dato’ Sri Huan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok memberitahu, sektor kesihatan kekal sebagai tunjang utama dalam menjamin kesejahteraan rakyat serta kestabilan sosial negara.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa penghargaan terhadap petugas kesihatan perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan dalam memperkukuh sistem kesihatan serta meningkatkan kemudahan dan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
Tambahnya lagi, sumbangan warga kesihatan akan terus terpahat sebagai sebahagian daripada sejarah penting pembangunan negara, khususnya dalam mendepani cabaran besar yang menuntut komitmen dan pengorbanan tinggi.-EDISI UKAS