ASAJAYA: Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Asajaya Laut menganjurkan Program RIMUP Budaya sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri, pada Sabtu.
Program yang berlangsung di Dataran SK Asajaya Laut itu menghimpunkan warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat dalam suasana penuh harmoni, sekali gus menyemai semangat muhibah dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Majlis disempurnakan oleh wakil Pegawai Daerah Asajaya, Syaifulizuan Shafri yang memuji inisiatif pihak sekolah dalam menggabungkan elemen kebudayaan pelbagai kaum selaras dengan matlamat RIMUP untuk melahirkan generasi yang menghargai kepelbagaian budaya.
“Program seperti ini mampu menjadi platform terbaik untuk memupuk persefahaman dan memperkukuh hubungan antara murid serta komuniti,” katanya.
Terdahulu, Guru Besar SK Asajaya Laut, Osman Bujang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah jemputan yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti paluan kompang, silat, tarian Iban, tarian Cina serta persembahan khas daripada pelajar SK Pinang yang mencerminkan keunikan kepelbagaian budaya di negeri ini.
Sebagai simbolik perasmian, Syaifulizuan turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada wakil 12 sekolah jemputan termasuk SK Beliong, SK Tambirat, SK Sambir dan SJK Chung Hua Asajaya.
Program diakhiri dengan sesi lawatan ke booth juadah tradisi yang memberi peluang kepada para tetamu untuk beramah mesra dalam suasana penuh kemesraan.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Shbini Saini; Yang Dipertua PIBG SK Asajaya Laut, Teruna Mat serta guru besar sekolah-sekolah jemputan.- EDISI UKAS