Sting Muay Thai Dinobat Johan Piala TYT Sarawak, Bukti Dominasi Sukan Tempur Tempatan
KUCHING: Kelab Sting Muay Thai dari Kuching mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Edisi Ke-10 yang berlangsung meriah di Tebingan Kuching, Sabtu.
Kejayaan tersebut sekali gus menzahirkan keupayaan atlet tempatan bersaing di peringkat tinggi dalam kejohanan yang turut disertai peserta antarabangsa dari Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Singapura.
Naib johan bagi kejohanan tersebut disandang oleh Muay Thai Kenyalang, manakala tempat ketiga menjadi milik Rentap Muay Thai.
Dalam pada itu, Rentap Muay Thai turut mencatat pencapaian tersendiri apabila merangkul gelaran johan bagi Piala Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Datuk Bandar DBKU dalam ucapannya berkata, kejayaan Sting Muay Thai mencerminkan perkembangan positif sukan tempur di Sarawak serta hasil usaha berterusan dalam melahirkan atlet berdaya saing.
Menurut beliau, kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah mengukuhkan kedudukan Kuching sebagai hab sukan tempur bertaraf antarabangsa.
“Penyertaan seramai 350 atlet termasuk dari luar negara membuktikan kejohanan ini semakin mendapat pengiktirafan dan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan serta pelancongan negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran kejohanan secara konsisten memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran pelancong serta aktiviti perbelanjaan domestik.
Dalam masa sama, beliau menggesa para atlet agar terus mengekalkan disiplin, semangat kesukanan serta menjadikan kejohanan sebagai medan menimba pengalaman dan memperluas jaringan persahabatan antarabangsa.
Kejohanan edisi kali ini turut menyaksikan pengenalan Piala Borneo buat pertama kali, sekali gus membuka lembaran baharu dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam arena sukan tempur. -EDISI UKAS