Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Premier Sarawak Beri Sorakan Kuat Terhadap KCFC
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberikan sorakan yang kuat kepada Kuching City FC (KCFC) ketika menentang Selangor FC dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak pada Sabtu.
Kehadiran kedua-dua pemimpin tertinggi Sarawak itu menyokong dengan sepenuh hati sepanjang perlawanan berlangsung dan sentiasa fokus menyaksikan setiap gerak-geri pemain KCFC yang turut beraksi dengan penuh semangat.
Aksi mendebarkan antara dua pasukan gergasi menyebabkan kedua-duanya bersama dengan semua penonton menunjukkan reaksi tidak tenang dan setiap serangan yang berjaya dipatahkan daripada Selangor FC menyebabkan semua penonton lega.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Premier Sarawak turut memberikan sorakan yang kuat setiap kali KCFC melakukan serangan berbahaya terhadap gawang Selangor FC.
Menambah manis, KCFC turut berjaya menumpaskan Selangor FC 1-0 menyaksikan mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk pertama kali dalam sejarah kelab tersebut.
Jaringan pada minit ke-30 hasil jaringan Petrus Shitembe membolehkan KCFC menempah tiket ke pentas akhir piala berprestij bola sepak negara.
Sejurus perlawanan berakhir, para pemain turut berkesempatan melambai ke arah pemimpin yang hadir atas kesudian mereka memberi sokongan dan turut bersorak terhadap aksi perlawanan dramstik yang ditunjukkan.
Hadir sama, isteri kepada TYT Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap Presiden KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie