KUCHING: Perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan parti komponen menjadi asas utama kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing berkata, kekuatan gabungan itu terletak pada keupayaan setiap parti mengurus perbezaan pandangan secara matang melalui pendekatan konsensus, saling menghormati dan perkongsian kuasa yang tulen.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen GPS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Menurutnya, kepimpinan yang berkesan bukan diukur melalui kelantangan, sebaliknya melalui konsistensi dalam berkhidmat dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
“Kepimpinan bukan tentang siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang paling konsisten dalam berkhidmat dan berjasa untuk rakyat.
“Ia juga bukan mengenai kedudukan, tetapi tentang tanggungjawab yang perlu dipikul dengan amanah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata GPS telah membuktikan keupayaan sebagai gabungan yang stabil, matang dan berwibawa hasil kebijaksanaan kepimpinan dalam mengurus perbezaan.
Namun, katanya, setiap pihak perlu mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki demi memastikan gabungan itu terus relevan dan diyakini rakyat.
“Kita harus akui kekurangan yang ada dan berusaha memperbaikinya, bukan terus mempertahankan kesilapan dengan sikap angkuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dalam memastikan keperluan asas rakyat terus terpelihara serta risiko bencana dapat ditangani secara menyeluruh.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap GPS perlu terus diperkukuh, khususnya dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Rakyat perlu yakin bahawa GPS adalah gabungan yang stabil, bersatu dan sentiasa mengutamakan kepentingan Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keyakinan tersebut bergantung kepada prestasi yang telah dicapai serta cara kepimpinan mengemudi gabungan itu pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Dato Sri Tiong menyeru semua pihak agar terus memperkukuh asas perpaduan yang telah dibina dengan memelihara nilai saling menghormati serta memperkasakan semangat konsensus dalam setiap keputusan.
“Kita pastikan setiap komponen dalam GPS memainkan peranan dengan penuh makna kerana kekuatan kita adalah kekuatan bersama,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS