Kawalan Trafik Jadi Keutamaan, Bas Percuma Solusi Tangani Kesesakan Program SKS Miri
KUCHING: Langkah komprehensif dan bersepadu akan digerakkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan pergerakan pengunjung sepanjang penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Bahagian Miri dari 24 hingga 26 April ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, jangkaan kehadiran ribuan pengunjung khususnya pada hari perasmian menuntut perancangan rapi dari aspek mobiliti dan pengurusan trafik.
“Kita jangka kurang lebih 6,000 orang akan hadir pada masa perasmian. Maka kita akan menghadapi juga kesesakan lalu lintas dan sebagainya,” katanya semasa Program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, Bangunan Baitulmakmur pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan kementeriannya akan menyediakan dua perkhidmatan bas khas percuma sebagai langkah utama mengurangkan kesesakan serta kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
“Satu akan diletakkan di stesen bas Pelita, dan satu lagi dari Boulevard ke stadium terbuka. Tiap-tiap setengah jam, bas ini akan bergerak,” jelasnya.
Menurut beliau, penggunaan bas khas tersebut membolehkan pengunjung bergerak terus ke lokasi program tanpa perlu berdepan kesukaran mendapatkan parkir.
Tegasnya lagi, penggunaan pengangkutan awam merupakan pendekatan paling efektif dalam menangani kesesakan bagi program berskala besar seperti ini.
“Lebih elok park dekat satu tempat, lepas itu gunakan bas direct ke lokasi.
“Tak payahlah memandu sampai dekat stadium…susah nak cari tempat letak kereta, jadi gunakan bas,” ujarnya.
Menurut beliau, pendekatan bersepadu melibatkan penyediaan pengangkutan percuma, kawalan keselamatan serta penyelarasan logistik ini dilihat sebagai strategi kritikal dalam memastikan kelancaran trafik sekali gus menyokong kejayaan keseluruhan Program SKS.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SKS Bahagian Miri merangkap Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kawalan trafik turut diperkukuh dengan penglibatan kira-kira 300 anggota keselamatan bagi mengawal aliran kenderaan dan keselamatan pengunjung.
“Kita telah minta pihak polis lebih kurang 300 anggota untuk memastikan pergerakan pengunjung yang datang,” katanya.
Selain itu katanya, MOTS turut bekerjasama dengan perkhidmatan e-hailing bagi menawarkan tambang lebih berpatutan sepanjang tempoh program.
“Saya difahamkan pihak kementerian telah berunding dengan pihak e-hailing untuk menawarkan harga yang berpatutan sepanjang tiga hari tersebut,” tambahnya. - EDISI UKAS