Chap Goh Mei, Ramah Tamah dan Pra Gawai Perkukuh Perpaduan Komuniti Tatau
TATAU: Sambutan Chap Goh Mei, Ramah Tamah dan Pra Gawai 2026 yang berlangsung di PPDK Sinaran Kasih Tatau pada Selasa mencerminkan semangat perpaduan serta keprihatinan terhadap kebajikan komuniti setempat, khususnya golongan berkeperluan khas.
Majlis yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum itu menjadi wadah memperkukuh hubungan sosial sambil menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan penduduk Tatau.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai menegaskan bahawa ibu bapa disaran agar tidak berasa malu untuk menghantar anak-anak istimewa ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi mendapatkan latihan dan sokongan yang sewajarnya.
“PPDK memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak istimewa agar mereka dapat berdikari dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” jelas beliau semasa berucap merasmikan majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu cadangan akan dikemukakan kepada Premier Sarawak bagi membangunkan kompleks kebajikan di daerah Tatau yang bakal menempatkan Pejabat Kebajikan Daerah, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) serta PPDK Sinaran Kasih di lokasi yang lebih kondusif.
Menurutnya, ketika ini PPDK Sinaran Kasih Tatau masih beroperasi di premis sewaan yang mempunyai kekangan ruang, namun sebuah tapak baharu yang lebih luas telah dikenal pasti dan dijangka mula digunakan seawal tahun hadapan.
Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada PPDK Sinaran Kasih Tatau.
Program anjuran bersama PPDK Sinaran Kasih Tatau dan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) N60 Kakus itu turut menyaksikan penyertaan masyarakat berbilang kaum termasuk Iban, Melayu, Cina, Punan dan Beketan dalam suasana harmoni.
Keharmonian yang dizahirkan melalui sambutan perayaan ini dilihat mampu memperkukuh kerjasama komuniti setempat sekali gus menyokong pelaksanaan agenda pembangunan di kawasan Tatau secara lebih inklusif dan berkesan.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah IPD Tatau, DSP Jame Reis, Timbalan Pengerusi PPDK Sinaran Kasih Tatau, Penghulu Sanok Magai, Ketua Wanita PRS N60 Kakus, Olina Josline serta Wakil Pegawai Daerah Tatau, Long Jok.-EDISI UKAS