Program Sarawakku Sayang Perkukuh Penyampaian Maklumat, Tangani Kekeliruan Rakyat
KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan sekali gus menangani kekeliruan rakyat terhadap pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan bahawa pendekatan turun padang melalui program tersebut membolehkan rakyat memperoleh maklumat yang sahih dan tepat secara terus daripada agensi berkaitan.
Katanya, penyampaian maklumat secara terus dan telus mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan serta menggalakkan kerjasama berterusan dalam memacu pembangunan negeri.
“Untuk mendapat perkhidmatan yang tepat dan maklumat tepat, inilah satu peluang yang baik… jangan selalu bergantung kepada media sosial kerana kadangkala maklumat itu kurang tepat,” katanya semasa ditemubual dalam Program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, Bangunan Baitulmakmur pada Selasa.
Tegas beliau, kefahaman yang jelas dalam kalangan rakyat merupakan elemen penting dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara efektif dan memberi manfaat menyeluruh.
Mengenai SKS, beliau menjelaskan program berkenaan menghimpunkan pelbagai maklumat penting berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan yang perlu difahami oleh rakyat.
“Melalui program ini, kerajaan membawa semua maklumat penting yang perlu diketahui dan difahami oleh rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, penyediaan kaunter perkhidmatan oleh pelbagai agensi memberi ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan penjelasan lanjut serta bantuan secara langsung tanpa bergantung kepada sumber tidak rasmi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SKS Bahagian Miri merangkap Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, program tersebut turut memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi melalui interaksi bersemuka dengan masyarakat.
“Ini peluang untuk rakyat mendengar sendiri dan mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai inisiatif kerajaan,” katanya.
Program SKS di Miri yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April ini merangkumi lima komponen utama iaitu majlis rasmi, pameran, kaunter perkhidmatan, jualan usahawan serta aktiviti komuniti yang disusun secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat. - EDISI UKAS