Sarawak Pavilion Curi Perhatian Di FHA 2026, Serlah Keunikan Produk Tempatan
SINGAPURA: Sarawak Pavilion mencuri perhatian di Food & Hospitality Asia (FHA) 2026 dengan mengetengahkan keunikan serta inovasi produk tempatan, sekali gus membezakannya daripada ratusan pempamer lain.
Dikendalikan oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), Sarawak Pavilion menghimpunkan 19 pempamer dalam ruang seluas 126 meter persegi, termasuk penyertaan baharu yang mencerminkan perkembangan positif sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak.
Antara produk yang diketengahkan ialah lada Sarawak, sarang burung, ikan empurau dan nanas Sarawak Gold 1 (SG1), selain sesi rasa yang memberi peluang kepada pengunjung menilai sendiri keunikan produk tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, platform seperti FHA membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk mengembangkan pasaran dan memperkukuh jenama di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, inovasi seperti teh berasaskan sayur Midin membuktikan keupayaan pengusaha tempatan menambah nilai kepada sumber sedia ada.
"Midin yang kita kenali sebagai sayur kini berjaya dikomersialkan sebagai minuman dan mendapat sambutan di pasaran Singapura.
“Ini membuktikan produk kita mempunyai keunikan tersendiri dan mampu menarik minat pasaran luar,” katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas merasmikan Sarawak Pavilion di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) menegaskan bahasa kelebihan Sarawak dalam sektor pertanian dan perikanan memberi asas kukuh kepada pengusaha untuk bersaing di pasaran global.
“Pengguna kini mengutamakan kualiti dan keselamatan produk. Ini menuntut pengusaha menyesuaikan proses dan standard agar selari dengan kehendak pasaran,” tegasnya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Pengerusi STATOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli-ahli Lembaga Pengarah STATOS Datu Hii Chang Kee yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Laura Lee Ngien Hion, Dato Ngui Ing Ing, Datu Lester Matthew dan Charlie Soh Poh Peng serta Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan.
FHA 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 24 April di Singapore Expo, dijangka menarik lebih 80,000 pengunjung antarabangsa, sekali gus memperluas peluang jaringan perniagaan dan pelaburan.-EDISI UKAS