Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Piasau Utara Eratkan Silaturahim Komuniti
MIRI: Penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Piasau Utara menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk keharmonian dalam kalangan penduduk setempat.
Berlangsung di Balairaya Piasau Utara, majlis tersebut menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana santai dan penuh muhibah, mencerminkan semangat perpaduan yang terus dipelihara di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, keharmonian masyarakat merupakan aset paling berharga bagi Sarawak, melebihi hasil bumi seperti minyak dan gas.
Menurut beliau, kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada hubungan erat antara penduduk yang sentiasa dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan seperti majlis ramah tamah.
“Hubungan yang kukuh dalam kalangan masyarakat adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan pelbagai usaha pembangunan yang telah dilaksanakan di Kampung Piasau Utara sejak beberapa tahun lalu, termasuk penambahbaikan masjid, naik taraf balairaya, pemasangan lampu padang, pembinaan gelanggang futsal serta penambahbaikan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir.
Selain itu, peruntukan bagi menaik taraf lampu jalan di kawasan kampung juga telah diluluskan, manakala projek naik taraf sistem perparitan di Piasau Utara 3 dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa segala pembangunan yang dinikmati hari ini adalah hasil mandat yang diberikan rakyat, sekali gus menekankan kepentingan kestabilan dalam memastikan perancangan serta pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menyentuh perkembangan semasa, beliau turut mengulas usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak negeri, termasuk inisiatif terkini yang diumumkan oleh Premier Sarawak seperti peningkatan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan pemberian diskaun 25 peratus bil elektrik sehingga hujung tahun ini.-EDISI UKAS