Hornbill Walk Kembali Meriahkan PNR, Perkukuh Kesedaran Pemuliharaan Komuniti
MIRI: Selepas enam tahun terhenti, program Hornbill Walk kembali dianjurkan di Piasau Nature Reserve, sekali gus menghidupkan semula aktiviti komuniti berteraskan pemuliharaan alam sekitar di kawasan bandar ini.
Program edisi ke-78 anjuran Piasau Camp Miri Nature Park Society pada Ahad itu berjaya menarik penyertaan lebih 70 peserta, mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat terhadap usaha menghargai dan melindungi khazanah alam semula jadi.
Aktiviti bermula seawal jam 4 petang sebelum para peserta memulakan sesi berjalan kaki pada jam 4.30 petang, diketuai oleh Karambir Singh selaku penyelaras program merangkap Bendahari organisasi berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi Malaysian Nature Society Miri Branch, Musa Musbah bersama barisan ahli kedua-dua pertubuhan.
Laluan berjalan kaki bermula dan berakhir di kawasan parkir Pusat Interpretasi PNR.
Penyertaan komuniti turut diserikan dengan kehadiran warga Harmony School Miri yang diketuai pengetuanya, Sylvester Lim.
Penglibatan guru, pelajar serta ibu bapa menjadikan program ini sebagai platform “Family Walk and Park Adventure” yang inklusif, dengan peserta seawal usia satu tahun turut mengambil bahagian.
Dalam ucapannya, Karambir menegaskan penganjuran semula Hornbill Walk merupakan usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara kawasan Piasau Nature Reserve sebagai habitat hidupan liar, khususnya burung enggang.
Beliau menjelaskan, kawasan tersebut merupakan rizab alam semula jadi pertama di Sarawak yang digerakkan oleh komuniti dan terletak dalam kawasan bandar berhampiran pesisir pantai.
Ia diwartakan pada 31 Disember 2013 hasil kempen awam bagi melindungi habitat pembiakan penting bagi burung Enggang Kaki Hitam yang dilindungi sepenuhnya di negeri ini.
Selain nilai ekologi, kawasan itu turut mempunyai signifikan sejarah sebagai bekas penempatan pekerja Sarawak Shell Berhad sejak tahun 1950-an, yang dikenali sebagai Piasau Camp.
Penganjuran kali ini amat bermakna apabila ia merupakan program pertama selepas edisi ke-77 pada Februari 2020, yang diadakan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020 susulan pandemik COVID-19.
Sambutan menggalakkan yang diterima mencerminkan kebangkitan semula kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar, sekali gus mengukuhkan peranan PNR sebagai “paru-paru hijau” bandar Miri.
Program Hornbill Walk dijangka diteruskan secara berkala pada setiap Sabtu ketiga setiap bulan sebagai platform memperkasa penglibatan komuniti dalam usaha pemuliharaan.-EDISI UKAS