Mukah Muncul Juara Hoki 5’s Sarawak, Ungguli Kategori 14TKB
MUKAH: Pasukan Hoki Mukah mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara Kategori Lelaki 14 Tahun Ke Bawah (14TKB) pada Kejohanan Hoki 5’s Edisi Ke-8 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Stadium Hoki Sarawak pada 18 hingga 19 April 2026.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit, pasukan Mukah berjaya menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas dengan jaringan tipis 1-0 sekali gus mengesahkan kejuaraan milik mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan tersebut atas pencapaian membanggakan yang diraih.
“Tahniah kepada pasukan Hoki Bahagian Mukah. Teruskan usaha untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
“Tahniah juga kepada cikgu-cikgu merangkap barisan kejurulatihan pasukan serta semua murid yang telah berjuang mengharumkan nama Mukah dalam sukan hoki,” katanya.
Kejayaan itu turut diserikan dengan pencapaian individu apabila Awang Farahi Amzar Awang Safuan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik 14TKB, manakala Karl Zaim Mazlan menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik 14TKB.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Mukah yang juga Pengerusi Persatuan Hoki Bahagian Mukah, Masri Usop berkata, kejayaan tersebut mencerminkan hasil usaha berterusan serta komitmen tinggi barisan pengurusan dan kejurulatihan pasukan.
“Kemenangan ini merupakan satu perkembangan positif bagi sukan hoki di Mukah dan mencerminkan kesungguhan pemain serta pegawai dalam memartabatkan sukan ini di pelbagai peringkat.
“Kami berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan sukan hoki dan melahirkan lebih ramai pemain berpotensi untuk mewakili Sarawak,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, pasukan Mukah turut mengambil bahagian dalam kategori 12TKB dan 16TKB, namun sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga peringkat kumpulan.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Pengelola Kejohanan Hoki 5’s Edisi Kali Ke-8 Peringkat Negeri Sarawak 2026 Datin Mary Sadiah Zainuddin.-EDISI UKAS