Pelancaran Kapal Penyelidikan Marin Pertama Perkukuh Usaha Konservasi Laut Sarawak
MIRI: Usaha memperkukuh penyelidikan serta pemuliharaan ekosistem marin di Sarawak terus diperkasa apabila Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melancarkan kapal penyelidikan marin pertamanya di bawah Projek COREEFS.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata kapal penyelidikan berkenaan akan berfungsi sebagai platform khusus bagi menyokong aktiviti penyelidikan saintifik dan pemantauan biodiversiti marin, termasuk kajian terhadap mamalia marin seperti ikan lumba-lumba di perairan Sarawak.
Menurutnya, pelancaran kapal tersebut merupakan satu pelaburan strategik yang mencerminkan komitmen Sarawak dalam memperkukuh pengurusan sumber marin secara mampan.
“Vesel ini merupakan pelaburan strategik dalam komitmen Sarawak ke arah pengurusan sumber marin yang mampan.
“Ia akan meningkatkan keupayaan kita untuk menjalankan penyelidikan saintifik, khususnya dalam pemantauan mamalia marin serta menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti bagi melindungi ekosistem marin untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran kapal penyelidikan marin pertama SFC di bawah Projek COREEFS yang berlangsung di Jeti UKPS, Miri, pada Isnin.
Sementara itu, Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata pengoperasian kapal tersebut menandakan satu langkah penting dalam meningkatkan kapasiti penyelidikan marin di negeri ini.
“Pengoperasian kapal ini menandakan satu kemajuan besar dalam keupayaan SFC untuk menjalankan penyelidikan marin secara khusus, terutamanya dalam memahami serta melindungi mamalia marin dan ekosistem laut.
“Melalui Projek COREEFS serta kerjasama erat dengan rakan strategik seperti Bintulu Port Authority, kita dapat memperkukuh asas saintifik bagi memastikan usaha pemuliharaan dan pengurusan sumber marin Sarawak dilaksanakan secara mampan,” jelasnya.
Tambah beliau, kapal penyelidikan tersebut turut dijangka mempertingkatkan kecekapan operasi lapangan melalui pengumpulan data yang lebih sistematik bagi menyokong strategi konservasi yang berasaskan bukti.
Projek COREEFS merupakan inisiatif penting yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan ekosistem marin termasuk pemulihan terumbu karang serta pemantauan biodiversiti jangka panjang di kawasan perlindungan marin Sarawak.
Pelancaran kapal tersebut sekali gus mencerminkan komitmen berterusan SFC dalam memelihara kekayaan biodiversiti marin Sarawak serta memperkukuh peranannya dalam menerajui inisiatif konservasi di peringkat nasional dan serantau.-EDISI UKAS