Sepak Takraw MAKSAK: Kontinjen Sarawak Intai Kejayaan di Kota Kinabalu
KUCHING: Kontinjen MAKSAK Sarawak meletakkan sasaran tinggi untuk mencipta pencapaian cemerlang pada Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Games 2026 yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 April ini di Kota Kinabalu, Sabah.
Keyakinan tersebut dizahirkan dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen MAKSAK Sarawak yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Naib Yang Dipertua MAKSAK Sarawak menegaskan bahawa kontinjen negeri memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat kebangsaan, di samping menekankan kepentingan disiplin, semangat berpasukan dan komitmen tinggi dalam kalangan pemain.
“Ini bukan sekadar penyertaan, tetapi peluang untuk membuktikan kemampuan dan mengharumkan nama perkhidmatan awam Sarawak,” katanya.
Bagi edisi kali ini, Sarawak mempertaruhkan seramai 15 pemain yang akan beraksi dalam acara berpasukan melibatkan dua beregu terbuka serta satu beregu veteran.
Kontinjen tersebut turut disokong oleh lima pegawai pasukan bagi memastikan aspek pengurusan dan kebajikan atlet sentiasa terpelihara sepanjang kejohanan berlangsung.-EDISI UKAS