Atlet MAKSAK Sarawak Cipta Nama di Pentas Dunia, Terima Pengiktirafan Kerajaan Negeri
KUCHING: Kejayaan dua atlet wanita MAKSAK Sarawak menembusi pentas antarabangsa dalam Kejohanan Karom Dunia Ke-7 di Maldives membuktikan keupayaan atlet negeri ini bersaing di peringkat global.
Sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian tersebut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel menyempurnakan sesi penghargaan kepada kedua-dua atlet berkenaan di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Mariati Hazmi dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Diana Mohamad dari Mahkamah Kuching telah mewakili Malaysia dalam kejohanan berprestij yang berlangsung di Barceló Nasandhura, Malé, Maldives dari 2 hingga 6 Disember 2025, melibatkan kira-kira 200 pemain dari lebih 20 negara.
Penyertaan mereka bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah memperkukuh reputasi Sarawak sebagai negeri yang mampu melahirkan atlet berdaya saing di peringkat dunia.-EDISI UKAS