Pemimpin Turun Padang Tinjau Projek, Perkukuh Kebajikan Rakyat di Sungai Selejau
MARUDI: Pendekatan turun padang amat penting untuk memahami realiti kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman, selain menilai tahap pelaksanaan projek pembangunan agar berjalan lancar dan mencapai objektif ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menegaskan, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh, adil dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), lawatan kerja dan pemantauan projek pembangunan secara berkala bagi memastikan keperluan rakyat luar bandar terus diberi perhatian.
“Pembangunan yang berkesan bukan hanya tertumpu di bandar, tetapi mesti dirasai sehingga ke rumah panjang dan kawasan pedalaman,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja dan pemantauan projek pembangunan di Sungai Selejau pada Selasa.
Lawatan yang melibatkan kunjungan ke rumah panjang Rh Lalo dan Rh Gawong itu turut diisi dengan program bersama rakyat bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa peningkatan bantuan melalui Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) merupakan antara usaha kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup.
Selain SKAS, kerajaan negeri ujarnya juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan lain termasuk bantuan kebajikan, perumahan, program peningkatan ekonomi isi rumah, sokongan kepada usahawan kecil, bantuan pertanian serta pelbagai inisiatif pembangunan luar bandar.
Menyentuh aspek pendidikan, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah progresif dengan menyediakan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan generasi muda.
“Pendidikan adalah kunci utama untuk mengubah nasib keluarga dan membangunkan masyarakat. Anak-anak luar bandar juga mesti diberi peluang yang sama seperti di bandar,” ujarnya.
Sepanjang program tersebut, beliau turut mendengar pelbagai cadangan dan maklum balas daripada penduduk yang menurutnya akan dibawa ke peringkat berkaitan untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmennya sebagai wakil rakyat untuk terus menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap keperluan dapat ditangani dengan berkesan.
Lawatan itu turut disertai Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Reagen Edwin, Pemanca Randie Bundan serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Program anjuran Pusat Khidmat Mulu itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang seimbang, khususnya di kawasan pedalaman.- EDISI UKAS