158 Projek Pintu Disalur Kepada Rumah Panjang Sarikei
SARIKEI: Sebanyak 158 unit Projek Pintu diagihkan kepada beberapa rumah panjang sekitar Sarikei sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii pada Sabtu.
Pengagihan tersebut melibatkan beberapa rumah panjang termasuk RH Ngelai Ak Ampawi, RH Bajut Pak, RH Clement Asuh dan RH Limbang Ak Maleng.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut meninjau pelaksanaan beberapa projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bertujuan meningkatkan kemudahan asas penduduk rumah panjang.
Antara projek yang dilaksanakan termasuk kerja menyimen kawasan hadapan rumah panjang di RH Ngelai Ampawi, menaiktaraf sistem perparitan di RH Bajut Pak serta kerja penambahbaikan di RH Clement Asuh melibatkan pengalihan tiang elektrik, pembinaan tembok batu dan pembinaan jalan premix ke rumah panjang tersebut.
“Pembangunan infrastruktur seperti jalan, sistem perparitan dan penambahbaikan rumah panjang amat penting dalam memastikan penduduk rumah panjang dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Penduduk rumah panjang yang terlibat turut merakamkan penghargaan atas usaha berterusan kerajaan dalam membantu meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan komuniti luar bandar di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS