PMNS & Pahlawan Championship Meterai Kerjasama, Anjur Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Di Sarawak
KUCHING: Arena sukan muay thai di Sarawak bakal digegarkan dengan pertarungan epik membabitkan petarung tempatan dan antarabangsa dijadual berlangsung pada September tahun ini.
Ia susulan kolaborasi dimeterai antara Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dan Pahlawan Championship bertujuan membawa penganjuran kejohanan tempur bertaraf antarabangsa itu di Bumi Kenyalang.
Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu diadakan sempena Majlis Pengenalan Peserta dan Kontinjen Kejohanan Muay thai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Edisi Ke-10 2026 & Piala Borneo 2026 yang diadakan di Tebingan Sungai Kuching pada Khamis lepas.
PMNS dan Pahlawan Championship masing-masing diwakili Presidennya, Jumaat Ibrahim dan Muhammad Faizol Mohd Mokhtar.
Ketika ditemubual, Jumaat menyambut kolaborasi tersebut sebagai usaha strategik PMNS dalam mempopularkan lagi sukan tempur itu di negeri ini.
Katanya, selain mencungkil bakat baharu, kejohanan itu juga akan menjadi platform bagi melahirkan lebih ramai jaguh bertaraf dunia dari Sarawak.
“Melalui penganjuran kejohanan ini nanti, secara tidak langsung kita dapat meletakkan Sarawak di peta dunia sukan muay thai dengan kehadiran lebih ramai peserta antarabangsa.
“Ini akan membantu dari sudut penjanaan ekonomi berteraskan sektor pelancongan sukan, selaras dengan agenda pemerkasaan yang ditekankan oleh kerajaan negeri,” kata Jumaat.
Sementara itu, Faizol berkata, penganjuran tersebut dijangka menjadi antara acara tempur terbesar pernah dianjurkan di Bumi Kenyalang, sekali gus mengangkat Sarawak sebagai hab baharu sukan tempur di rantau ini.
Menurutnya, kejohanan itu bakal menghimpunkan atlet tempatan dan antarabangsa dalam sukan muay thai.
“Ini bukan sekadar kejohanan, tetapi satu platform untuk memperkasa atlet tempatan, di samping membuka peluang kepada bakat baharu menonjol di pentas dunia,” katanya.
Jelasnya, keputusan untuk melebarkan sayap di Bumi Kenyalang setelah mengambil kira sambutan menggalakkan masyarakat di sini terhadap muay thai serta peranan aktif yang dimainkan oleh PMNS dalam mengangkat sukan tempur itu.
Difahamkan, Pahlawan Championship pernah menampilkan ikon-ikon terkenal dalam sukan tempur itu seperti Super Bon, Super Lek dan ramai lagi. - EDISI UKAS