JKR Sarawak & Swinburne Meterai MoU, Perluas Laluan Latihan Industri dan Penyelidikan
KUCHING: Kerjasama strategik antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak Campus membuka lembaran baharu dalam pembangunan bakat tempatan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan memperluas peluang latihan industri, penyelidikan dan pembangunan profesional khususnya untuk pelajar.
Kerjasama bagi tempoh lima tahun itu memberi penekanan kepada penyediaan pendedahan industri secara langsung kepada pelajar, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar sektor pembinaan serta infrastruktur di Sarawak.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Profesor Lau Hieng Ho bersama Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris di kampus Swinburne Sarawak pada Rabu.
Menurut Datu Dr. Cassidy, kerjasama itu bertujuan memperkukuh kolaborasi antara institusi akademik dan agensi teknikal kerajaan, khususnya dalam bidang penyelidikan serta kajian berkaitan industri pembinaan.
“Melalui MoU ini, kita ingin meneroka penyelidikan dan kajian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta relevan dengan industri pembinaan.
“Sebagai sebuah jabatan besar, JKR Sarawak juga berupaya menawarkan peluang latihan praktikal kepada pelajar, di samping memperkukuh kolaborasi sedia ada,” katanya ketika ditemu media selepas majlis menandatangani MoU itu tersebut.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pengambilan pelajar untuk latihan industri akan dibuat secara terpilih berdasarkan kesesuaian dan keperluan jabatan.
“Kita tidak dapat menerima terlalu ramai pelajar pada satu masa. Penilaian akan dibuat bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang diperlukan, namun kita tetap membuka ruang kepada pelajar Swinburne untuk menimba pengalaman bersama JKR Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan cadangan memperkenalkan Anugerah Industri JKR Sarawak kepada pelajar cemerlang sebagai salah satu inisiatif mengiktiraf bakat graduan.
“Cadangan ini masih dalam peringkat perbincangan bersama pihak Swinburne. Kita melihat potensi untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dan seterusnya menggalakkan kecemerlangan dalam bidang berkaitan,” jelasnya.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak turut merancang pelaksanaan penyelidikan bersama serta kajian perintis berkaitan cabaran infrastruktur dengan mengintegrasikan elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam setiap peringkat pembangunan projek.
Selain itu, MoU juga membuka ruang kepada pelaksanaan program pembangunan profesional seperti webinar, latihan serta perkongsian kepakaran antara Swinburne Sarawak dan rangkaian perunding profesional JKR Sarawak.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan industri, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Sarawak.- EDISI UKAS