SINGAPURA: Momentum Sarawak Pavilion terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan pada hari kedua Food & Hospitality Asia (FHA) 2026 di Singapore Expo, apabila jumlah pengunjung dan interaksi perniagaan mencatat lonjakan ketara berbanding hari pembukaan.
Pavilion berkenaan muncul sebagai antara tarikan utama dalam kalangan pembeli dan pengedar antarabangsa, khususnya mereka yang ingin meneroka produk makanan dan minuman unik dari Sarawak.
Suasana di reruai juga dilihat lebih rancak, dengan pertambahan pertanyaan serta perbincangan awal ke arah kerjasama perdagangan.
Perkembangan positif ini banyak didorong oleh penyelarasan rapi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) yang memastikan operasi pavilion berjalan lancar selain menyusun sesi padanan perniagaan secara lebih strategik.
Sebanyak 19 jenama tempatan dihimpunkan di bawah Sarawak Pavilion, merangkumi pelbagai kategori industri termasuk makanan proses, minuman, hasil pertanian premium serta makanan ringan dan manisan.
Dalam kategori minuman, Foodtake Industries Sdn Bhd menampilkan minuman segera, manakala Leaves Food Industries Sdn Bhd membawa produk minuman dalam pek 1 liter serta minuman sedia diminum dalam tin.
Dr Parveenss Global Sdn Bhd pula memfokuskan kepada minuman teh, termasuk teh berasaskan sayur midin yang unik, manakala Beverages Marketing (S) Sdn Bhd menawarkan minuman dalam tin serta kordial.
Leyd Brewing Co turut mencuri perhatian dengan produk bir kraf yang menyasarkan pasaran khusus.
Bagi kategori makanan proses dan bahan masakan, MUSC Food Industries Sdn Bhd mengetengahkan pes makanan, sos dan perencah.
Pawada Food Industries Sdn Bhd pula menampilkan produk berasaskan lada Sarawak seperti sos, serbuk serta lada biji, selain makanan dalam tin, dengan corned beef dan sos lada hitam antara produk terlaris.
Produk lada turut diperkukuh oleh Pepper Spice Sdn Bhd, Joeyees Trading Sdn Bhd serta Sarawak Produces Industries Company yang mempamerkan lada hitam dan putih dalam pelbagai bentuk.
Manakala, bagi kategori hasil pertanian dan bahan mentah premium, Evergreen Eco Plantation Sdn Bhd memperkenalkan nanas Sarawak Gold SG1 bersama produk hiliran, manakala East Asia Palm Products Sdn Bhd menampilkan mentega campuran.
Borneo Farming & Foods Sdn Bhd tidak terlepas peluang membawa produk bernilai tinggi seperti sarang burung walit boleh dimakan dan halia.
Kategori produk premium turut diserikan oleh Borneo Stream Authentic yang mempromosikan ikan empurau serta ikan sungai tangkapan liar, yang menjadi antara tarikan di pavilion menerusi saiz ikan yang dipamerkan.
Sementara itu, kategori makanan ringan dan manisan turut disertai 899 F&B Manufacturing Sdn Bhd yang menampilkan minyak sacha inchi, kombucha serta minuman botani.
Stampin Confectionary Sdn Bhd pula membawa snek premium berasaskan keju, manakala Supreme Indah Sdn Bhd mengetengahkan snek berasaskan tumbuhan serta sambal.
Savextra Sdn Bhd tampil dengan biskut dan kuih bulan, diikuti Rosfaniaga Services Sdn Bhd yang menawarkan snek berasaskan ikan.
Secara keseluruhannya, perkembangan pada hari kedua ini memperlihatkan potensi besar produk Sarawak untuk terus menembusi pasaran antarabangsa, didorong minat pembeli dan pengedar sepanjang pameran berlangsung.-EDISI UKAS