20 Unit Papan Paparan Interaktif Disalurkan ke Sekolah Kawasan Balai Ringin
BALAI RINGIN: Sebanyak 20 unit papan paparan interaktif (interactive whiteboard) disalurkan ke sekolah-sekolah di kawasan Balai Ringin dalam usaha memperkasa pendidikan digital serta merapatkan jurang teknologi antara luar bandar dan bandar.
Inisiatif ini digerakkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan lebih interaktif dan berasaskan teknologi.
Menurut beliau, sekolah-sekolah di luar bandar juga berhak menikmati kemudahan teknologi setanding dengan sekolah di bandar supaya murid tidak ketinggalan dalam arus pendidikan masa kini.
“Pendidikan adalah keutamaan saya. Saya mahu setiap anak di kawasan ini mendapat peluang pembelajaran terbaik tanpa mengira latar belakang keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan pada Rabu.
Tambahnya, sumbangan itu bukanlah yang pertama, malah sebelum ini beberapa sekolah di kawasan Balai Ringin turut menerima televisyen pintar bagi kegunaan bilik darjah serta membantu sesi pengajaran dan pembelajaran.
Dalam perkembangan sama, Datuk Snowdan memaklumkan, Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu telah dipilih sebagai pusat program robotik untuk memberi pendedahan awal kepada murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, pusat berkenaan akan dilengkapi pelbagai peralatan robotik dan boleh dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah berhampiran bagi memperluaskan akses pendidikan berasaskan teknologi.
"Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin juga bakal menerima sebuah bilik khas teknologi maklumat (IT Room) lengkap dengan komputer dan kemudahan berkaitan bagi menggalakkan pembelajaran digital dalam kalangan pelajar," jelasnya.
ADUN Balai Ringin turut menjelaskan bahawa kerajaan menyediakan peruntukan tahunan kira-kira RM10 juta di bawah inisiatif industri kreatif bagi menyokong pembangunan bakat dan kemahiran belia dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, dana tersebut boleh digunakan untuk menganjurkan kursus, latihan serta mendapatkan tenaga pengajar profesional dalam bidang seperti animasi, grafik komputer, media digital, produksi televisyen dan radio.
“Jika penyertaan sesuatu program melibatkan kumpulan kecil, bantuan boleh disalurkan sekitar RM20,000 hingga RM30,000.
"Bagi program berskala besar, jumlah itu boleh mencecah RM50,000 sehingga RM100,000 bergantung kepada keperluan,” ujar beliau. -EDISI UKAS