Infrastruktur Komuniti konstituensi Opar Terus Diperkasa Menerusi RTP
LUNDU: Infrastruktur komuniti di konstituensi Opar terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah hadir menyempurnakan Program Penyerahan Tapak Projek RTP DUN Opar yang melibatkan tiga projek pembangunan dengan nilai keseluruhan RM430,000 yang berlangsung pada Rabu.
Program berkenaan menyaksikan pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan sekolah serta gelanggang sukan komuniti demi keselesaan penduduk setempat.
Antara projek utama ialah kerja-kerja menaik taraf Dewan Serbaguna SK Holy Name, Kampung Rukam dengan peruntukan RM200,000.
Selain itu, Kampung Sebiris menerima peruntukan RM150,000 bagi kerja naik taraf gelanggang futsal kampung tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada golongan belia dan penduduk sekitar untuk aktiviti riadah dan sukan.
Sementara itu, Kampung Temaga Melayu turut menerima RM80,000 bagi projek naik taraf gelanggang futsal kampung berkenaan.
Menurut Billy, pelaksanaan projek RTP itu membuktikan usaha berterusan dalam memastikan rakyat di kawasan luar bandar menikmati kemudahan yang lebih baik, selesa dan selamat.
Beliau berharap semua projek yang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat di kawasan Opar. -EDISI UKAS