Pelajar Luar Bandar Cemerlang Dalam Robotik, Bukti Potensi Setanding
KUCHING: Pelajar dari luar bandar di Sarawak terus membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing dan cemerlang dalam bidang robotik apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) di peringkat negeri yang diadakan dari 17 hingga 19 Julai 2025 di Universiti Curtin, Miri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pencapaian sekolah dari kawasan seperti Serian, Kapit dan Daro membuktikan bahawa pelajar luar bandar mahu mencapai prestasi setanding dengan pelajar lain apabila diberikan pendedahan, sumber dan bimbingan yang sewajarnya.
Beliau berkata, dalam pelaksanaan program perintis NRC tahun 2025, SJK Chung Hua Batu 35, Serian muncul naib juara kategori Robomission Junior, manakala SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro meraih tempat ketiga dan SMK Kapit di tempat kelima dalam kategori Robomission Rookie peringkat menengah rendah.
“Pencapaian ini jelas mencerminkan potensi besar pelajar kami apabila diberi pendedahan, sumber dan bimbingan yang betul.
“Saya sangat gembira kerana semua sekolah ini berada di kawasan luar bandar. Serian, Kapit, Daro. Mereka sama bagusnya dengan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Kit Robotik sempena Program Pembangunan Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri Tahun 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperluas pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak digerakkan secara inklusif bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pembangunan teknologi, termasuk di kawasan luar bandar, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan bakat secara saksama.
Dato Sri Roland Sagah menambah, program tersebut akan diteruskan dan diperluaskan pada tahun ini dengan penglibatan 60 buah sekolah merangkumi 30 sekolah rendah dan 30 sekolah menengah dari pelbagai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sarawak.
Menurutnya, setiap sekolah terpilih akan menerima set kit robotik yang ditaja oleh kementerian, selain guru akan mengikuti bengkel Training of Trainers (TOT) yang dikendalikan oleh Sasbadi bagi memastikan mereka bersedia membimbing pelajar dengan berkesan.
Tambah beliau, sekolah-sekolah terlibat seterusnya akan menyertai NRC Peringkat Negeri 2026 yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 30 Julai ini di Sibu.
Jelasnya, program pembangunan ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan pada tahun lalu yang melibatkan 13 PPD, dengan semua 26 pasukan berjaya menyertai pertandingan peringkat negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan, Sarawak telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang robotik apabila muncul juara keseluruhan kebangsaan sebanyak 10 kali sepanjang tempoh 2014 hingga 2025.
Katanya lagi, kejayaan di peringkat antarabangsa turut membanggakan apabila Malaysia muncul juara keseluruhan dalam World Robot Olympiad 2025, dengan penyertaan daripada Sarawak menyumbang kepada pencapaian tersebut.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inivasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Adana Jed, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli, Pengarah Sasbadi Learning Solution Sdn Bhd Kevin Wan serta Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Pelajar) Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad.-EDISI UKAS