Usaha Ringankan Beban Mangsa Musibah Jadi Keutamaan DUN Bukit Kota
LIMBANG: Usaha berterusan membantu rakyat yang ditimpa musibah terus menjadi fokus utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara dan mendapat pembelaan sewajarnya.
Pendekatan proaktif ini diterjemahkan melalui penyaluran bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Rumah Sengat, Batu 8, Jalan Kubong melibatkan 32 penghuni yang terjejas dalam insiden yang berlaku pada petang Selasa.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan asas bagi meringankan beban mangsa dalam tempoh mencabar ini.
“Hari ini, kita memberi bantuan khususnya daripada Pusat Khidmat DUN Bukit Kota dan juga Pergerakan Wanita Bukit Kota dalam bentuk bakul makanan dan wang tunai mengikut bilangan rumah,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan ke lokasi kejadian pada Rabu.
Beliau memaklumkan, kesemua mangsa kini menumpang sementara di kediaman ahli keluarga masing-masing sementara menunggu bantuan susulan daripada agensi berkaitan.
Dalam masa sama, usaha jangka panjang turut dirangka bagi membantu pembinaan semula rumah yang musnah melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Daripada Pusat Khidmat DUN Bukit Kota, sebanyak RM15,000 akan disediakan bagi setiap rumah dalam bentuk peralatan dan bahan binaan, manakala Jawatankuasa Bencana Negeri akan menilai kos sebenar yang diperlukan,” jelas beliau.
Selain itu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang turut menyalurkan bantuan kebajikan meliputi peralatan dapur bernilai kira-kira RM1,000, peralatan tempat tidur sekitar RM200 serta bantuan persekolahan anak-anak dalam lingkungan RM300.
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan bantuan pembinaan semula rumah dengan anggaran RM10,000 bagi setiap kediaman, manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyumbang empat bakul makanan bagi setiap rumah sebagai bantuan segera.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa melakukan penyelenggaraan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik bagi mengurangkan risiko kebakaran, terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kr Sufian Mohat serta wakil agensi keselamatan dan komuniti setempat.-EDISI UKAS