Program iCPD Siri Ke-10 Perkasa Kemahiran Tenaga Kerja Sarawak
SERIAN: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak menegaskan kepentingan pembangunan modal insan sebagai teras utama dalam agenda kementerian melalui pelaksanaan Program Industry Continuous Professional Development (iCPD).
Menterinya Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program iCPD yang diperkenalkan oleh MEITD bertujuan merapatkan jurang antara keperluan industri dan kemahiran tenaga kerja tempatan, sekali gus menyokong pembentukan ekonomi yang kukuh dan mampan.
Katanya, latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dalam program ini turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat.
Beliau berkata demikian semasa merasmian penutupan program itu di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Bahagian Serian pada Khamis.
Dalam pada itu jelasnya, latihan Koordinator OSH kini merupakan keperluan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, yang mewajibkan majikan dengan lima pekerja atau lebih melantik individu terlatih bagi mengurus aspek keselamatan di tempat kerja.
Program iCPD siri latihan Koordinator OSH ini bermula di Bintulu dan telah diperluaskan ke seluruh Sarawak, dengan pelaksanaan di Serian dan Siburan menandakan siri ke-10 program tersebut.
Inisiatif ini juga memperlihatkan kerjasama antara kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKM).
Menurut Dato Sri Roland Sagah, program iCPD terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan tenaga kerja melalui pembelajaran berterusan, sejajar dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk melahirkan 500,000 tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.
Seramai 21 peserta berjaya menamatkan latihan dan menerima sijil yang diiktiraf di peringkat kebangsaan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan profesionalisme mereka.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta beberapa pemimpin tempatan dan ketua jabatan.-EDISI UKAS