Pusat Dialisis BSMM Miri Dinaik Taraf, Perkukuh Kualiti Rawatan Pesakit
MIRI: Kemudahan rawatan pesakit buah pinggang di Bahagian Miri terus diperkasa apabila Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri berjaya menyiapkan projek naik taraf Dewan 1 yang bermula sejak September 2025.
Projek bernilai RM4.5 juta itu melibatkan kerja-kerja renovasi menyeluruh serta penggantian mesin dialisis, sekali gus menyediakan persekitaran rawatan yang lebih moden, selamat dan menepati piawaian kesihatan semasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin dan Pengerusi Pusat Dialisis BSMM Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan projek tersebut amat signifikan dalam memastikan pesakit menerima rawatan berkualiti secara berterusan.
“Diharapkan sokongan berterusan dapat membantu melengkapkan keperluan mesin serta memastikan perkhidmatan berkualiti terus dinikmati pesakit.
“Kerja-kerja amal ini amat mulia kerana dapat menyelamatkan nyawa,” katanya semasa sidang media selepas meninjau pusat berkenaan, pada Khamis.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pembinaan ruang kaunter jururawat, kawasan mencuci tangan, bilik rinser, bilik pemprosesan semula, bilik pengasingan, dewan dialisis serta stor penyimpanan sisa klinikal.
Selain itu, sebanyak 30 daripada 46 mesin dialisis lama turut diganti dengan peralatan baharu yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia, sekali gus meningkatkan kecekapan serta keselamatan rawatan.
Setakat ini, pusat dialisis tersebut menampung lebih 324 pesakit, dengan majoritinya bergantung kepada subsidi berikutan kos rawatan yang tinggi serta kekangan kapasiti di hospital kerajaan dan swasta di Miri.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pusat berkenaan memerlukan subsidi tahunan dianggarkan sebanyak RM2.52 juta bagi menampung keperluan pesakit, termasuk RM1.96 juta bagi pesakit kategori PERKESO dan kebajikan serta RM559,728 bagi pesakit rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai, syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menghulurkan sumbangan bagi memastikan kelangsungan operasi pusat dialisis tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma, syarikat korporat dan NGO yang telah menyumbang dalam menjayakan projek naik taraf berkenaan.
Usaha berterusan ini dilihat bukan sahaja memperkukuh sistem penyampaian kesihatan komuniti, malah menjadi manifestasi keprihatinan pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan pesakit terus terbela di wilayah utara Sarawak.-EDISI UKAS