PEKEMA EVfyRun 2026 Sokong Agenda Teknologi Hijau, Sasar Lebih 1,000 Peserta
KUCHING: Penganjuran PEKEMA EVfyRun 2026 bukan sekadar acara larian biasa, sebaliknya menjadi platform menyokong agenda teknologi hijau dan mobiliti bersih yang sedang giat dipacu kerajaan negeri.
Program julung kali anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak itu dijadual berlangsung pada 20 September 2026, menghimpunkan komuniti larian, pemilik kenderaan elektrik (EV) serta masyarakat umum dalam satu acara berimpak tinggi.
Naib Presiden PEKEMA Sarawak merangkap Pengerusi Penyelaras program, Yusuf Roy berkata, penganjuran tersebut merupakan satu gerakan kesedaran awam terhadap penggunaan tenaga bersih dan gaya hidup lestari.
“Ini bukan hanya satu acara larian, tetapi satu gerakan untuk memberi input dan menyokong usaha kerajaan negeri yang kini sangat proaktif dalam menggalakkan teknologi hijau serta penggunaan tenaga bersih.
“Kita menghimpunkan komuniti termasuk pemilik EV dan masyarakat setempat bagi memupuk kesedaran terhadap kepentingan mobiliti bersih dan kelestarian alam sekitar,” katanya pada sidang media di Dewan Sri PEKEMA, di sini, pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tersebut akan diselitkan dengan elemen kebajikan apabila seramai 60 anak yatim dijemput menyertai larian, selain diberikan kelengkapan seperti kasut sukan.
“Kita juga akan menyantuni beberapa badan kebajikan melalui program berimpak komuniti sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR),” tambahnya.
Menurutnya lagi, pelbagai agensi strategik dijangka terlibat termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Sarawak Energy Berhad, SEDC Energy dan PUSPAKOM.
Selain itu, peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah termasuk basikal elektrik, konsol permainan PS5 Pro, jam pintar sukan, televisyen pintar serta baucar beli-belah.
Sementara itu, wakil penganjur, Ryan Jee berkata, acara tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan empat kategori penyertaan bagi memudahkan penglibatan ramai.
“Acara ini direka supaya lebih inklusif, di mana semua orang boleh menyertai tanpa mengira latar belakang. Kita mahu lebih ramai tampil bersama dalam program ini.
“Setakat ini, lebih 300 peserta telah berdaftar dan kita menyasarkan antara 1,000 hingga 1,500 penyertaan menjelang hari acara,” jelasnya.
Tambah beliau, larian akan melibatkan dua jarak iaitu 3 kilometer dan 7 kilometer, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan serta laluan yang sesuai.
Dalam masa sama, program tersebut turut menampilkan pameran kenderaan elektrik termasuk beberapa model yang dibawa masuk oleh PEKEMA Sarawak, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengenali teknologi EV dengan lebih dekat.
Turut hadir Presiden PEKEMA Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS