Pendaki Sarawak Wong Su Chung Cipta Sejarah, Buktikan Usia Bukan Penghalang, Terima Pengiktirafan Malaysia Book of Records Di Hadapan Premier Sarawak
KUCHING: Semangat kental serta keyakinan berteraskan iman menjadi kekuatan utama buat anak jati Sarawak, Wong Su Chung, dalam menempuh pelbagai cabaran ekstrem dunia sehingga mencipta sejarah tersendiri di pentas antarabangsa.
Pada usia 60 tahun, beliau bukan sahaja berjaya menawan puncak tertinggi dunia Gunung Everest, malah melakar satu lagi pencapaian luar biasa apabila menamatkan Ekspedisi Dwi Antartika melibatkan pendakian Gunung Vinson dan ekspedisi ski sejauh 111 kilometer (km) ke darjah terakhir Kutub Selatan.
Kejayaan tersebut sekali gus meletakkan beliau sebagai rakyat Sarawak pertama menawan Gunung Everest pada Mei 2024, selain muncul rakyat Malaysia pertama menamatkan Antarctica Dual Expedition yang turut direkodkan dalam The Malaysian Book of Records.
Pengiktirafan tersebut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi dalam satu kunjungan hormat di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Sementara itu menurut Wong, setiap pendakian dan ekspedisi yang disertainya bukanlah trofi untuk dibanggakan, sebaliknya satu proses untuk mentakrif semula batas kemampuan manusia dengan penuh disiplin, ketabahan dan kecekalan.
Beliau menegaskan bahawa falsafah hidupnya sentiasa berpegang kepada ketenangan dalam menghadapi masalah, selain memilih untuk menilai keadaan secara rasional, menyesuaikan diri dan terus melangkah ke hadapan.
“Sepanjang ini, saya sentiasa mengatasi cabaran. Menawan Gunung Everest bukan kerana saya luar biasa, tetapi kerana saya mengikut pimpinan Tuhan. Selangkah demi selangkah, walaupun banyak halangan, saya dapat menamatkan perjalanan itu dan pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.
Namun, sokongan tidak berbelah bahagi isterinya, Lim Shaw Chyi, serta penglibatan dalam Bible Study Fellowship (BSF) membantunya bangkit semula sedikit demi sedikit, sekali gus membina semula kekuatan dalaman dan keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan.
Berbekalkan semangat baharu, Wong beralih ke dunia pendakian gunung bermula 2022 hingga 2023 menerusi beberapa siri pendakian besar termasuk Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Manaslu sebagai persediaan mental serta fizikal untuk cabaran yang lebih besar.
Beliau turut berharap kisah perjalanannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda agar tidak mudah berputus asa walau berdepan cabaran hidup yang berat.
Bagi Wong, makna kehidupan bukan terletak pada perbandingan dengan orang lain, tetapi pada usaha untuk terus mara dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Selepas melalui semuanya, saya benar-benar merasakan ini ialah satu perjalanan yang penuh dengan rahmat Tuhan. Dalam cabaran yang amat sukar ini, saya berkali-kali mengalami bagaimana Tuhan membantu dan membimbing saya,” ujarnya. -EDISI UKAS