Makmal RTP 2027 Perketat Perancangan, Elak Pembaziran Projek
BINTULU: Penganjuran Makmal Penyediaan Senarai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 dilihat sebagai langkah memperketat perancangan pembangunan luar bandar bagi memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun, tepat sasaran dan bebas pembaziran.
Program yang berlangsung di Imperial Hotel Bintulu pada Selasa itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat, pegawai daerah serta agensi teknikal dalam usaha menyelaras keutamaan projek yang benar-benar memberi impak kepada rakyat.
Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata makmal tersebut berperanan sebagai mekanisme saringan penting sebelum sesuatu projek dilaksanakan, selain memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara optimum tanpa pembaziran.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap cadangan projek perlu dimuktamadkan secara teliti dengan mengambil kira keperluan sebenar masyarakat, di samping mengurangkan permohonan Notis Perubahan yang boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan.
Sepanjang makmal berlangsung, peserta diberikan taklimat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Negeri mengenai tatacara permohonan serta garis panduan pengurusan projek RTP.
Selain itu, pembentangan cadangan projek turut dilaksanakan mengikut daerah melibatkan Pegawai Daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh bagi memastikan perancangan lebih menyeluruh dan berfokus.
Dalam pada itu, penyelarasan antara agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta pihak berkuasa tempatan diberi penekanan bagi mengelakkan pertindihan skop serta mempercepatkan pelaksanaan projek.
Aspek teknikal termasuk penyediaan awal Bill of Quantities (BQ) dan penilaian kesesuaian tapak projek turut diperhalusi bagi memastikan anggaran kos lebih tepat serta mengurangkan risiko isu pelaksanaan di lapangan.
Secara keseluruhannya, makmal ini memperkukuh disiplin perancangan pembangunan luar bandar yang lebih efisien dan berfokus, sekali gus memastikan setiap peruntukan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.-EDISI UKAS