MYChipStart Perkukuh Keupayaan Reka Bentuk Cip Tempatan di Sarawak
KUCHING: Usaha memperkukuh keupayaan reka bentuk cip tempatan terus diperkasa apabila program MYChipStart Sarawak Region Roadshow diperkenalkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri tempatan menembusi ekosistem semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, penganjuran program berkenaan buat pertama kali di Sarawak membuka peluang kepada syarikat pemula (start-up), inovator serta institusi tempatan untuk membangunkan cip yang direka dan dihasilkan sendiri.
Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dengan kerjasama SMD Semiconductor itu amat penting dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan, khususnya dalam membantu pemain industri baharu menembusi pasaran global.
“Jadi program ini sangat berguna dan sangat penting dalam memberi sokongan kepada syarikat pemula kerana terdapat banyak halangan yang perlu mereka atasi agar dapat menjadi sebahagian daripada ekosistem global dalam semikonduktor.
“Sebagai contoh, akses kepada alat reka bentuk elektronik (electronic design automation) dan beberapa sokongan lain yang akan disediakan sekiranya mereka menyertai program CREST MYChipStart ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian program MYChipStart Sarawak Region Roadshow, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shariman berkata inovasi masa kini banyak dipacu oleh syarikat multinasional besar, namun wujud jurang kerana mereka lebih tertumpu kepada pengeluaran sedia ada dan cenderung mengelakkan risiko, sekali gus menyebabkan perkembangan inovasi menjadi perlahan.
Justeru katanya, peranan tersebut perlu diambil oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya syarikat baharu, inovator muda, pencipta, untuk menghasilkan idea baharu yang tidak dapat dilakukan oleh syarikat besar.
Tambah beliau, syarikat pemula mempunyai kelebihan dari segi fleksibiliti dan keupayaan untuk membawa idea baharu ke pasaran.
Dalam pada itu, Shariman turut memaklumkan bahawa program tersebut turut disokong oleh ETSI Talent Development Programme yang menawarkan latihan khusus kepada graduan baharu, pelajar universiti serta profesional dalam bidang berkaitan semikonduktor.
Katanya, latihan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama HRD Corp bagi memastikan tenaga kerja tempatan dilengkapi kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat pemula, penyelidik universiti serta usahawan inovatif di Sarawak agar tidak melepaskan peluang menyertai program berkenaan sebelum tarikh tutup pada penghujung bulan ini melalui laman sesawang https://crest.my/mychipstart.
MYChipStart merupakan inisiatif disokong kerajaan bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menyediakan sokongan berstruktur sepanjang kitaran pembangunan cip, daripada peringkat reka bentuk hingga ke pengkomersialan.
Antara manfaat yang ditawarkan termasuk pembiayaan bersama sehingga 50 peratus kos projek, insentif pengambilan graduan baharu sehingga RM5,000 sebulan, akses kepada peralatan reka bentuk (EDA), kemudahan fabrikasi wafer, serta sokongan teknikal dan bimbingan pakar.
Program ini terbuka kepada syarikat berdaftar di Malaysia termasuk pemula dan PKS yang mempunyai keupayaan membangunkan serta mengkomersialkan produk cip, dengan permohonan kini dibuka sehingga 30 April 2026.-EDISI UKAS