Pembangunan Perlu Konsisten, Bukan Sekadar Perancangan
PAKAN: Perancangan pembangunan tidak boleh terhenti di atas kertas semata-mata, sebaliknya perlu diselaras dan dilaksanakan secara konsisten agar manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, setiap pelan pembangunan mesti diterjemahkan melalui tindakan yang jelas, tersusun dan berkesan supaya hasilnya dapat dilihat secara nyata oleh masyarakat.
Menurut beliau, keyakinan rakyat hanya dapat dibina apabila setiap perancangan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan, bukannya sekadar janji tanpa tindakan.
“Pembangunan tidak boleh dianggap seperti batu yang dilemparkan ke lautan, hanya memberi kesan seketika sebelum hilang begitu sahaja.
“Sebaliknya, pembangunan perlu diselaraskan secara berterusan agar memberi impak jangka panjang terhadap persepsi, penerimaan dan penyertaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Pemantapan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Pakan di Dewan Masyarakat Pakan pada Rabu.
Tan Sri William Mawan menegaskan, kerajaan juga perlu memastikan kesinambungan setiap projek yang telah dimulakan agar masyarakat yakin terhadap komitmen yang diberikan.
Menurutnya, kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air di kawasan itu sudah tersedia, namun penambahbaikan dari segi penyusunan dan penyelarasan antara agensi masih diperlukan.
Beliau turut menekankan bahawa Pakan perlu terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah daerah yang cekap dalam melaksanakan pembangunan dan tidak hanya bergantung kepada perancangan semata-mata.-EDISI UKAS