MERADONG: Program sambutan Pra Gawai di rumah panjang terus menjadi ruang bermakna yang mendekatkan pemimpin dengan peduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peluang turun padang menerusi program sedemikian membolehkan beliau berjumpa dan beramah mesra dengan penduduk dari pelbagai peringkat umur.
Menurutnya, pertemuan secara bersemuka memberi ruang untuk beliau mendengar sendiri pandangan dan keperluan penduduk, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Bila kita turun sendiri ke lapangan, kita lebih faham apa yang rakyat perlukan dan hadapi setiap hari,” katanya semasa program Pra Gawai di Rumah Panjang Ulu Stras pada Rabu.
Tambah beliau, setiap permohonan daripada penduduk akan dibincangkan terlebih dahulu oleh Tuai Rumah bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum dikemukakan secara rasmi ke pusat khidmat bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh usaha Kerajaan Sarawak yang terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat.
Beliau menegaskan, keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat perlu terus disokong agar pembangunan dapat diteruskan, khususnya di kawasan DUN Meradong.-EDISI UKAS