KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru agar memahami dengan jelas aspek kenegaraan dan kenegerian termasuk Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Rukun Negara serta dasar-dasar kerajaan bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, pemahaman tersebut amat penting kerana golongan berkenaan berperanan sebagai perantara utama dalam menyampaikan maklumat kepada komuniti setempat.
Jelasnya, pada masa kini terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk menularkan perkara negatif berbanding usaha dan dasar baik yang dilaksanakan kerajaan.
"Perkara ini sangat penting kerana pada masa kini kita berdepan dengan beberapa tabiat yang kurang baik.
"Mengapa dikatakan demikian kerana walaupun sesuatu dasar itu baik, masih ada pihak yang bercakap perkara sebaliknya.
"Jika sesuatu perkara itu negatif, ia mudah menjadi tular," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Bangunan DUN Sarawak pada Khamis.
Tambahnya, beliau menegaskan pentingnya masyarakat menyampaikan maklumat yang tepat dan seimbang kepada kerajaan Sarawak supaya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Selain itu, Datuk Amar Dr Sim memberitahu, kepentingan DUN juga perlu difahami terutamanya kelulusan akta dan undang-undang yang memberi kelebihan kepada Sarawak juga perlu difahami oleh KMKK.
Menurutnya, DUN Sarawak meluluskan beberapa undang-undang seperti Cukai Jualan Sarawak dan pengenalan levi karbon.
"Sebab itulah dewan ini sangat penting dan amat bersesuaian untuk semua ketua masyarakat kita mengetahui semua perkara ini," ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS